Tuesday, April 30, 2013

Gula tambahan...sedap atau sakit?



Sumber thinkstock


Apa itu gula?

Gula diperlukan oleh tubuh untuk memberi kalori atau tenaga serta tiada kandungan nutrien lain. Otak kita memerlukan gula untuk berfungsi selama 24 jam. Tanpa gula kita boleh pitam.

Gula adalah karbohidrat yang ringkas (tidak termasuk serat) yang terdapat dalam susu, bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran dan ubi-ubian. Iaitu, glukosa, fruktosa, maltosa dan laktosa. Ini dikenali sebagai gula semulajadi.


Apa itu gula tambahan?


Gula tambahan pula adalah gula yang ditambah kedalam makanan yang diproses seperti pemanis mulut, minuman, makanan segera, roti dan banyak lagi. Contoh gula tambahan adalah gula putih, gula perang, sirap jagung, pati buah yang digunakan sebagai bahan perisa serta madu yang bukan asli.


Mengapa perlu digunakan gula tambahan?


Pengeluarkan makanan memerlukan gula tambahan sebagai penyedap rasa, kesegaran makanan, mencantikkan rupa makanan, menggebukan roti, menambah amaun pada ais krim, pengawet makanan terutama jem dan agar-agar, menaikkan aroma dan sebagainya. kadangkala sukar untuk kita kesan kehadiran gula tambahan pada makanan seperti ini. Contohnya, Gula tambahan juga terdapat pada makanan tanpa kita sedari seperti, yogurt berperisa, Sos, Coklat susu, Oat segera, buah-buahan yang dikeringkan dan coleslaw.


Berapa banyak gula tambahan yang terdapat dalam makanan dan minuman?

1) Minuman berkarbonat 500ml - 14.4 sudu teh
2) Minuman dalam tin tanpa karbonat 350ml - 9.6 sudu teh
3) Minuman coklat malt dalam tin 125ml - 5.5 sudu teh
4) Kek buah-buahan 40g - 3.5 sudu teh
5) Bijirin sarapan bersalut madu 220g - 10.1 sudu teh
6) Ubat batuk botol kecil di farmasi - 15.8 sudu teh
7) Aiskrim coklat sepotong saiz biasa - 7.7 sudu teh
8) Sundae restoran makanan segera - 10.3 sudu teh
9) Rempah ayam segera satu pek - 4.7 sudu teh
10) Minuman berkultur satu botol kecil - 2.7 sudu teh
11) Susu pekat manis dalam tin kecil - 35.5 sudu teh



Mengapa kita perlu kawal pengambilan gula tambahan?


Pengambilan gula tambahan yang terlampau banyak boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada kesihatan seperti 

  • obesiti
  • diabetes
  • mengurangkan mineral lain dalam tubuh badan
  • alahan kepada makanan
  • melemahkan sistem imunisasi
  • meningkatkan tindakbalas insulin
  • penyebab masalah mata seperti rabun jauh dan katarak
  • meninggikan risiko mendapat kanser
  • Penyebab kepada ekzema kepada kanak-kanak

Cuba bayangkan, jika kita telah minum air manis seperti air berkarbonat, tentu kita akan merasa kenyang dan dengan sendirinya kita akan mengelak mengambil susu yang mempunyai kalsium, protin dan vitamin. Sudah tentu badan kita tidak akan mendapat apa-apa nutrien. Sedangkan nutrien amat diperlukan untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.


Bagaimana untuk mengawal pengambilan gula tambahan?

Keperluan gula bagi setiap individu adalah berbeza mengikut keperluan tenaga hariannya. 


WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).


Cuba minimakan pengambilan gula tambahan kerana dalam makanan harian kita telah terdapat gula seperti nasi dan buah-buahan. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah:

  • Elakkan minuman manis terutama minuman berkarbonat dan minuman tenaga. Minum air kosong adalah lebih baik.
  • Elakkan makan makanan yang diproses yang turut mengandungi banyak lemak dan garam.
  • Elakkan makan gula-gula.
  • Pilih menu yang menggunakan kurang gula ketika memasak, memakar kek dan sebagainya.
  • Menggantikan gula dengan pemanis semulajadi seperti madu asli dan stevia.


"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas". Surah Al-A’raaf, ayat 31.



Sumber rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/en/nutrition/general/fakta-mengenai-gula





No comments:

Post a Comment